Home » Kerajaan Negeri: Tidak timbul isu kepimpinan
Politik Sudut Pandangan

Kerajaan Negeri: Tidak timbul isu kepimpinan

PEMBANGKANG asyik dengan lamunan sendiri kononnya kerajaan negeri berhadapan dengan isu kepimpinan, maka memaksa Ketua Menteri mengadakan PRN-17 mengejut, atas sebab itu mereka “in full gear” bersiap sedia berdepan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengambil alih kerajaan.

Jika khayalan mereka, kerana isu kepimpinan, lalu kerananya maka diadakan pilihan raya mengejut, secara logik tidak dapat diterima akal sihat, kerana yang membolehkan pilihan raya mengejut itu adalah pemimpin yang dikatakan mempunyai isu kepimpinan.

Isu kepimpinan lazimnya timbul jika kerap berlaku percanggahan pendapat antara pemimpin secara terbuka, akan tetapi yang berlaku, sejak kerajaan GRS dibentuk dan dipimpin Ketua Menteri hanya sekali berlaku pertembungan pendapat iaitu pada 6 Januari 2023 apabila kumpulan yang menentang Ketua Menteri menarik sokongan.

Selepas kejadian itu tiada sebarang kenyataan daripada mana-mana pemimpin yang menerajui kerajaan negeri dilihat bercanggah termasuklah berkaitan PRN-17.

Tidak masuk akal untuk menyelesaikan isu kepimpinan maka perlu mengadakan pilihan raya mengejut. Kaedah apa yang digunakan? Apakah menterusi pilihan raya, maka berlaku tindakan cantas mencantas?

Argumentasi Ketua Wanita Parti Warisan bahawa PRN-17 terpaksa diawalkan atas sebab adanya kelemahan kepimpinan adalah argumen amatur atau kebudak-budakan. Jika demikian lah kualiti pemimpin parti itu, maka tiada merit untuk rakyat Sabah memberi sokongan pada parti itu.

Kerana kualiti kepimpinan yang rendah, Parti Warisan tidak pernah diberi mandat oleh rakyat melainkan mereka yang mengundi parti itu terperangkap dengan janji-janji bulan bintang, namun lambat laun janji-janji itu terdedah dan kesannya, pada PRN16 walaupun parti itu menerajui kerajaan pintu belakang akan tetapi tewas. Tidak cukup dengan keputusan itu, rakyat sekali lagi menghukum parti itu apabila menolak calon-calon parti itu termasuk kerusi penyandang antaranya Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda pada PRU-15.

Sepatutnya Parti Warisan lah berhadapan dengan isu kepimpinan, kerana terbukti ramai pemimpin dan ahli parti itu termasuk wakil-wakil rakyat dan terbaharu Pengerusi Tetap parti itu keluar daripada parti.

Pemimpin parti Warisan terperangkap dengan ilusi sendiri “Kata periuk, belanga hitam” dan kerana itu mereka mencipta berbagai halusinasi untuk menggambarkan parti mereka mendapat sokongan rakyat sedangkan faktanya parti mereka menunggu untuk dikuburkan.

Tiada sebarang manfaat kepada rakyat memberi sokongan pada Parti Warisan yang dipimpin Datuk Shafie Apdal, kerana presiden parti itu walaupun pernah dilantik ke beberapa kementerian akan tetapi tiada legasi yang ditinggalkan, kecuali legasi kegagalan.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment