Home » Dua rumah musnah terbakar di Lahad Datu
Berita Am Berita Tempatan

Dua rumah musnah terbakar di Lahad Datu

LAHAD DATU: Sekurang-kurangnya dua buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Jawa, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.19 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah rumah separuh kekal dan sebuah lagi jenis tidak kekal sudah musnah dalam kebakaran.

“Pasukan bomba menjalankan operasi memadam menggunakan dua pancutan air daripada pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, kebakaran hanya melibatkan kemusnahan harta benda sahaja, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.

Sumsoa berkata, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

-utusanborneo