TAWAU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited menangani masalah kekurangan pegawai perubatan di Sabah menerusi program Reformasi Sumber Manusia di seluruh negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya melihat perkara ini secara realiti dan akan menangani kesemuanya di fasiliti kesihatan KKM di Sabah.
Katanya, KKM akan cuba memberikan tumpuan dari sudut merapatkan jurang sumber manusia di fasiliti kesihatan khasnya di Sabah dan Sarawak.
“Saya sedar di Sabah ketika ini nisbah doktor adalah satu doktor kepada 900 orang penduduk (1:900) berbanding di peringkat kebangsaan (1:412).
“Justeru, KKM sedang merancang untuk memastikan agihan bilang pegawai perubatan yang melibatkan semua bahagian supaya lebih menampakkan kesaksamaan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat-Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ), di sini semalam.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, masalah klinik kesihatan daif di Sabah juga turut menjadi tumpuan KKM untuk diselesaikan tahun ini dan melibatkan peruntukan sebanyak RM21.5 juta.
Menurutnya, masalah klinik daif di Sabah perlu diselesaikan secara holistik dan dilakukan dengan lebih teliti serta integriti.
“Ketika ini KKM telah menaik taraf sebanyak 58 buah klinik kesihatan daif dan 15 daripadanya sudah siap sepenuhnya, manakala 43 lagi sedang dijalankan.
“Kita harapkan November tahun ini, semua projek klinik kesihatan daif dapat disiapkan sepenuhnya seperti dalam perancangan,” katanya.
Mengulas mengenai program ini, katanya, ia bertujuan mempromosikan budaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan penyakit, serta meningkatkan kesedaran kesihatan masyarakat.
Katanya, jelajah bersama ANMS-SMJ sebenarnya adalah kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah khusus untuk menyampaikan manfaat program-program kesihatan kepada rakyat.
“Kita mahu tingkatkan literasi kesihatan supaya orang ramai cakna tentang kepentingan saringan kesihatan awal. Jika ada penyakit, kita kawal supaya tidak melarat.
“Program ini juga memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa harus cegah penyakit tidak berjangkit (NCD) dengan menjaga pemakanan, senaman, dan gaya hidup sihat,” katanya.
— Hamzah Sanudin
Add Comment