Home » Sokonglah filem terbitan anak tempatan: Maijol
Berita Tempatan Politik

Sokonglah filem terbitan anak tempatan: Maijol

Maijol (duduk tiga dari kanan) bersama isteri Datin Norita Maidol (dua dari kanan) dan AJK bahagian menonton tayangan filem Sinakagon disini pada Ahad bertempat di 10Star Cinema, 1Avenue Commercial Centre, Kota Marudu.

BANDAU: Sebuah karya sinematik berbahasa Dusun, ‘Sinakagon’ telah menemui peminat filem tempatan di 30 pawagam di seluruh negara sejak 13 Jun ini.

Datuk Maijol Mahap Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bandau bersama isteri Datin Norita Maidol dan Ahli Jawatankuasa bahagian  menonton tayangan filem Sinakagon disini pada Ahad  bertempat di 10Star Cinema, 1Avenue Commercial Centre, Kota Marudu.

“Sebagai penyokong yang bangga dengan industri filem tempatan kita, saya menggesa supaya rakyat tempatan memberikan sokongan penuh kepada filem tempatan seperti Sinakagon”, kata Maijol ketika ditemui selepas tayangan filem tersebut.

“Saya merasa sangat gembira melihat filem Sinakagon mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Ini menunjukkan bahawa filem tempatan kita mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan yang lebih besar,

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru agar kerajaan negeri Sabah untuk memperuntukkan dana khas bagi menyokong dan memupuk bakat filem tempatan kita”, ujarnya.

Sebagai tanda sokongan kepada industri perfileman tempatan ,Maijol yang juga Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat telah membeli tiket-tiket dan seterusnya diagihkan kepada pemimpin bahagian dan cawangan Gagasan Rakyat bahagian serta pemimpin masyarakat tempatan.

Antara yang hadir dan menonton ‘Sinakagon’ ialah Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau Tuan Sharif Kadah Sharif Osman, Ketua Pemuda Ustaz Farid Liman,  AJK Bahagian termasuk sayap-sayap Ketua-Ketua Cawangan serta pemimpin masyarakat.

‘Sinakagon’ filem terbitan sulung Syarikat Bambo Sound Studio dengan kerjasama Stephens Q Film Sdn Bhd turut tersenarai antara lima daripada 100 filem terpilih dalam Official Selections Indie Filmmakers Fest di Barcelona.

TAMAT