Home » Nyatakan status terkini cadangan pemindahan LTAKK ke Kimanis:Dr Yusof
Berita Tempatan Politik

Nyatakan status terkini cadangan pemindahan LTAKK ke Kimanis:Dr Yusof

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pada masa lalu kabinet negeri bersetuju cadangan untuk memindahkan LTAKK ke Kimanis dan satu Kajian Kebolehlaksanaan dilakukan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diminta menjelaskan status terkini cadangan pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) ke lokasi baharu di Kimanis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pada masa lalu kabinet negeri bersetuju cadangan untuk memindahkan LTAKK ke Kimanis dan satu Kajian Kebolehlaksanaan dilakukan.

“Laporan Kajian Kebolehlaksanaan itu dibuat oleh perunding dan dibentangkan tetapi kabinet negeri belum membuat keputusan. Jadi saya minta kabinet negeri menyatakan apakah statusnya. Jadi dipindah atau cuma bertahan di LTAKK.

“Walaupun Kementerian Pengangkutan melalui Menterinya Anthony Loke mengemukakan untuk menaik taraf LTAKK, kita kena melihat jangka panjang bahawa naik taraf LTAKK ini tidak menyelesaikan masalah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-16, hari ini.

Sesi foto Yusof (kanan) bersama dengan ADUN Dilantik Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee sebelum sidang DUN.

Beliau yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, keluasan LTAKK 900 ekar dengan hanya ada satu landasan tidak dapat menampung keperluan semasa dengan faktor LTAKK masa depan perlu ada dua landasan.

“Lihat Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Jakarta ada tiga landasan, begitu juga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Changi Singapura.

“Keluasan lapangan terbang antarabangsa ini paling kurang 3,100 ekar. Sebagai contoh Lapangan Terbang Changi Singapura 6,100 ekar, KLIA Sepang 5,000 ekar. Keluasan LTAKK 900 ekar memang tidak cukup untuk memenuhi keperluan semasa terkini lapangan antarabangsa.

“LTAKK adalah lapangan terbang kedua tersibuk di negara ini. Kita ada potensi kerana lokasi dengan ada penerbangan terus dari Nusantara Indonesia dan China,” katanya sambil menambah LTAKK juga tidak dapat menampung keperluan penumpang di bangunan itu sendiri seperti kaunter Jabatan Imigresen dan tempat mengambil beg bagasi.

Yusof berkata, faktor lokasi jauh jika LTAKK dpindahkan ke Kimanis bukan satu halangan disebabkan beberapa lapangan terbang di negara lain juga terletak jauh dari pusat bandar.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok terletak 31 kilometer dari pusat bandar Bangkok, Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta (40 km), KLIA (60km)…Kimanis terletak 47 KM dari Kota Kinabalu.

“Diharapkan kerajaan mempertimbangkan semula dan ini pelaksanaannya perlu mengambil masa lima hingga tujuh tahun,” katanya.

TAMAT