SANDAKAN: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting terus memperkukuh jentera penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
ADUN Karamunting, Datuk George Hiew baru-baru ini telah melantik Ricky Voon sebagai Timbalan Ketua Unit Aduan Task Force Team ADUN Karamunting.
George yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karamunting berkata, pelantikan itu selari dengan komitmen berterusan untuk menangani pelbagai isu rakyat secara lebih tersusun dan pantas.
“Unit Aduan ini sebelum ini diketuai oleh Kapitan Tommy Yap, bersama pasukan sukarelawan yang aktif membantu menyelesaikan aduan penduduk.
“Pelantikan Ricky sebagai Timbalan Ketua Unit dijangka dapat memperkemaskan lagi operasi Task Force Team, khususnya dalam aspek penyelarasan dan susulan aduan.
“Beliau memiliki pengalaman luas dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan faham keperluan komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan.
George berkata, kawasan DUN Karamunting meliputi lokasi seperti Bandar Ramai-Ramai, Bandar Leila, Bandar Nam Tung serta kampung-kampung seperti Kampung Air, Kg. Bokara dan Kg. Karamunting yang berhadapan dengan pelbagai isu termasuk kerosakan infrastruktur, tanah runtuh, lampu jalan rosak, longkang tersumbat, gangguan bekalan air dan elektrik serta liputan telekomunikasi yang tidak stabil.
“Kami sedar ada aduan yang tidak dapat diselesaikan serta-merta kerana melibatkan proses permohonan rasmi dan kerjasama pelbagai agensi teknikal seperti pihak berkuasa tempatan, Sabah Electricity (SE), Jabatan Air Negeri Sabah dan syarikat telekomunikasi.
“Namun, Task Force Team akan terus memberi keutamaan kepada setiap aduan dan memastikan tindakan susulan dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau turut menyeru penduduk agar memanfaatkan saluran aduan sedia ada termasuk hadir terus ke pusat khidmat, menghubungi talian rasmi atau melaporkan isu melalui platform media sosial agar tindakan dapat diambil segera.
— TAMAT
Add Comment