Home » Ewon temui Pairin bincang pembangunan keusahawanan bersama KDCA
Berita Tempatan Politik

Ewon temui Pairin bincang pembangunan keusahawanan bersama KDCA

BINCANG: Ewon semasa mengadakan pertemuan dengan Pairin di Pejabat KDCA di sini. Turut hadir Ahli Parlimen Tawau,Lo Su Fui

PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk Pembangunan keusahawanan.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata golongan usahawan terutamanya masyarakat Kadazandusun boleh merebut peluang yang disediakan agensi dalam Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Ewon bersalaman dengan Pairin.

“KUSKOP mempunyai 10 agensi yang menyediakan khidmat sokongan perniagaan kepada usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil-kecilan dari segi pembiayaan atau latihan keusahawanan.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya agensi di bawah kementerian saya diberi ruang untuk menyertai pameran semasa majlis pelancaran Sambutan Pesta Kaamatan anjuran KDCA tahun ini.

“Biasanya sambutan Kaamatan dihadiri ribuan orang dan agensi kerajaan terutamanya agensi di bawah KUSKOP boleh menyertai pameran bagi memberi peluang kepada orang ramai yang menghadiri sambutan mendapatkan maklumat mengenai keusahawanan sekiranya ada ruang tambahan,” katanya.

Ewon (tiga dari kanan). Pairin (tengah) bergambar bersama selepas kunjungan itu.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Pairin di Pejabat KDCA di sini. Turut hadir bersama,Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut mencadangkan supaya pelancaran Pesta Kaamatan anjuran KDCA tahun ini diadakan di luar Sabah.

— Vivi Olviana Najurus