Home » KUSKOP salur peruntukan RM50,000 baiki kerosakan banjirkepada SM St.Micheal – Ewon
Berita Tempatan Politik

KUSKOP salur peruntukan RM50,000 baiki kerosakan banjir
kepada SM St.Micheal – Ewon

Ketika ditemui media, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick memaklumkan beliau akan membawa isu banjir Penampang ke mesyuarat kabinet persekutuan pada Jumaat ini untuk penyegeraan peruntukan pelaksanaan projek mitigasi banjir di daerah itu.

PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick bersetuju memperuntukkan bantuan kecemasan RM50,000 untuk membaiki fasiliti terjejas teruk akibat banjir di Sekolah Menengah (SM) St. Michael di sini.


Beliau berkata peruntukan yang disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu akan diberikan kepada Koperasi SM St. Michael bagi membaiki kerosakan di kawasan sekolah berkenaan.


Ewon ketika meninjau kesan banjir di SM St.Micheal Penampang.

“Saya juga bersetuju memberikan peruntukan khas di bawah kementerian saya untuk menaik taraf kawasan tempat letak kereta yang diperlukan pihak sekolah,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjauan banjir di sekolah terbabit bersama Pejabat Daerah Penampang dan jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Penampang.


SM St. Michael adalah antara sekolah yang terjejas banjir di sini dua hari lalu, sehingga terpaksa ditutup dan menjejaskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berlangsung.


Dalam pada itu Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata keperluan untuk projek mitigasi banjir bagi daerah itu akan dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat depan.


“Saya juga akan membawa perancangan projek mitigasi banjir bersama dokumentasi diberikan pihak JPS yang membabitkan anggaran kos hampir RM500 juta ke mesyuarat Kabinet agar ianya dapat dilaksanakan segara bagi menyelesaikan masalah banjir di Penampang,” katanya.


Beliau berkata situasi banjir di Penampang adalah perkara mustahak dan kritikal yang perlu diambil tindakan segera sehingga beliau mengambil keputusan pulang ke Sabah walaupun Mesyuarat Jemaah Menteri sedang berlangsung.


“Perjumpaan dengan pihak JPS dan JKR sepanjang tinjauan ini membolehkan kita mengenal pasti kerosakan atau keperluan penyelenggaraan dan menaik taraf kawasan yang berpotensi menjadi punca utama limpahan air sehingga menjejaskan pergerakan penduduk.


“Selain peruntukan daripada JKR dan JPS, kita juga akan menggunakan sepenuhnya peruntukkan daripada Parlimen dan kementerian bagi membantu melengkapkan keperluan di beberapa kawasan yang kerap berlakunya banjir.


“Saya juga akan berkomunikasi dengan Pejabat Daerah Penampang serta pihak JKR dan JPS bagi menyegerakan projek berskala kecil yang diperlukan di sini,” katanya.

— Vivi Olviana Najurus