Home » Matbali bangkit enam lagi isu di Parlimen
Berita Tempatan Politik

Matbali bangkit enam lagi isu di Parlimen

Enam isu berkenaan merangkumi bekalan air, pendidikan, kesihatan, liputan telekomunikasi, hakisan jalan dan tebing sungai serta pelebaran jalan.

KUALA LUMPUR: Enam lagi isu dan keperluan penduduk dibangkitkan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah ketika membahas Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat kelmarin.


Dalam ucapan perbahasannya, beliau meminta kerajaan menerusi kementerian dan agensi berkaitan untuk memberi perhatian khusus terhadap isu dan masalah berkenaan.


Enam isu berkenaan merangkumi bekalan air, pendidikan, kesihatan, liputan telekomunikasi, hakisan jalan dan tebing sungai serta pelebaran jalan.


Sebelum itu ketika perbahasan Titah Diraja, Matbali mengetengahkan tujuh isu dan permasalahan penduduk di kawasan diwakili.


Beliau berkata isu bekalan air di Sipitang perlu dipertingkatkan dengan mengambil kira kemampuan dan keupayaan loji-loji sedia ada. 


Begitu juga projek air bersih di Beaufort perlu dinaik taraf kerana ia turut menyalurkan  bekalan kepada sebahagian penduduk di kawasan DUN Lumadan, iaitu salah satu DUN dalam Parlimen Sipitang.


“Jika bekalan air bersih di Beaufort dapat ditingkatkan kapasitinya, maka isu-isu air dialami penduduk di beberapa kampung seperti Bangkalalak, Mintulud, Suasa, Bintuka, Padas Damit dan Jabang serta persekitarannya akan dapat diselesaikan,” katanya.


Kampung lain yang tidak mempunyai saluran paip termasuk Kampung Kangsa, Kukub, Jabang dan Indulibai dengan jumlah penduduk lebih 1,200 orang.


Sementara itu pendidikan, beliau berkata banyak sekolah menengah dan rendah masih berkeadaan daif, dan perlu dinaik taraf. 


Beliau turut meminta kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan sebuah sekolah menengah di Long Pasia, berikutan jarak kawasan tersebut melebihi 140 kilometer ke sekolah menengah terdekat di pekan Sipitang.


“Long Pasia juga merupakan `mutiara Sipitang’ kerana kedudukan geografinya berpotensi membangun sebagai  destinasi pelancongan utama.


“Sehubungan itu, Long Pasia perlu dihubungkan dengan sistem telekomunikasi, untuk kemudahan penduduk, petugas kerajaan serta pelancong yang berkunjung.


“Kita berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) membina lebih banyak menara pemancar di kawasan ini yang merangkumi kawasan sekitarnya seperti Long Mio, Meligan, Iburu dan Ulu Bole,” katanya.


Beliau berkata pembinaan pusat latihan kemahiran untuk Sipitang juga diperlukan bagi memenuhi keperluan, seiring pendekatan Belanjawan 2023 mengupayakan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).


Sementara isu kemudahan kesihatan, beliau meminta supaya kemudahan klinik disedia di beberapa perkampungan jauh terpencil.
Antara jalan terjejas teruk ialah jalan Kg. Luagan Sanginan, Batandok Lupak, Lupak, Tuhu Lupak, Gadong, Labi, Lalanggut,  Suasa, Kaundu, Pintas dan Barumbai.  


Dalam pada itu, beliau turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melebarkan jalan raya dari Kg Lajau ke Kampung Kabajang, dalam kawasan DUN Lumadan.


“Pelebaran bahu jalan ini penting untuk memudahkan pengguna atau penduduk  meletakkan kenderaan, terutama ketika berlaku kecemasan atau mengadakan sebarang majlis atau kenduri,” katanya.

— EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment