Home » Malaysia, Kanada kukuhkan kerjasama dua hala dalam sektor ekonomi
Berita Tempatan Politik

Malaysia, Kanada kukuhkan kerjasama dua hala dalam sektor ekonomi

MESYUARAT: Ewon bersalaman dengan wakil Kanada semasa mesyuarat terbabit.

PARIS: Malaysia dan Kanada mengadakan mesyuarat dua hala bagi meneroka dan mengukuhkan hubungan kerjasama dalam pelbagai sektor ekonomi.

Mesyuarat itu diketuai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Setiausaha Parlimen kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa, Penggalakan Eksport, Perniagaan Kecil dan Pembangunan Ekonomi Arif Virani.

Ewon berkata antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah minat Kanada untuk menjadi sebahagian daripada negara rakan ASEAN, sokongan Malaysia terhadap Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Tambahnya turut dibincangkan ialah potensi kerjasama dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sektor pembangunan, francais, koperasi dan alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG).

Menurutnya Kanada merakamkan penghargaan kepada Malaysia terhadap sokongan yang diberikan kepada negara itu untuk menjadi sebahagian daripada negara rakan ASEAN dan berhasrat mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan Malaysia.

“Kanada memaklumkan akan menubuhkan Pejabat Misi Perdagangannya di Filipina bagi mengukuhkan kerjasama dengan negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

“Malaysia juga berhasrat untuk bekerjasama dengan Kanada dalam bidang keusahawanan, terutamanya dalam akses pasaran seperti halal, elektrik dan elektronik, peranti, mesin dan peralatan perubatan serta bioteknologi.

“Kita juga mencadangkan untuk bekerjasama dalam penerimaan dan pematuhan ESG dalam kalangan PKS, program eksport perniagaan dan pemadanan perniagaan, program pembangunan francais serta pembangunan koperasi,” katanya.

Beliau berkata negara itu juga berhasrat untuk bekerjasama dalam pembangunan MSME.

Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk meneruskan dialog dan akan membuat susulan mengenai bidang kerjasama yang dibincangkan semasa mesyuarat itu.

— Vivi Olviana Najurus