Home » Pelbagai platform boleh diguna tuntut hak Sabah – Ewon
Berita Tempatan Politik

Pelbagai platform boleh diguna tuntut hak Sabah – Ewon

Penulis menyokong ucapan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffery G Kitingan (kanan) semasa perbahasan “supply bill” di Dewan Rakyat pada Isnin, bahawa peruntukan untuk Sabah dan Sarawak perlu lah sekurang-kurangnya 25 peratus daripada jumlah peruntukan pembangunan, agar jurang kemajuan dan pembangunan antara tiga wilayah jangan terlalu lebar. (Gambar Hiasan)
JELASKAN: Ewon ketika menjelaskan status terkini Saman Pemula.

KOTA KINABALU: Semua saluran dan platform yang ada boleh digunakan untuk menuntut hak Sabah berdasarkan perlembagaan Malaysia.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, platform berkenaan termasuklah perundangan, Kabinet, Parlimen dan jawatankuasa-jawatankuasa khas.

“Saya telah mendapat perlantikan secara rasmi sebagai anggota Majlis Khas Sabah dan Sarawak yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah serta menteri sekretariat bagi membincangkan hak-hak Sabah menurut Perlembagaan Persekutuan.

“Di Kabinet Persekutuan, saya telah bersuara berkenaan hak Sabah. Maka dengan platform baharu ini, saya akan teruskan tuntutan rakyat Sabah, tuntutan parti dan pakatan parti saya supaya apa yang kami perjuangkan melalui proses mahkamah juga akan dibincang dalam platform baharu kepada saya ini, iaitu Majlis Khas Sabah dan Sarawak. 

“Saya akan kerahkan segala kudrat saya menerusi semua platform yang dibolehkan kepada saya untuk menuntut hak Sabah menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai status terkini Saman Pemula yang difailkan oleh Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah di Mahkamah Tinggi.

Beliau menjelaskan proses perundangan itu akan diteruskan sepertimana diputuskan oleh semua plaintif sebelum ini.

“Pada masa ini, tindakan tuntutan hak Sabah melalui proses mahkamah masih diteruskan oleh kesemua plaintif. Kita juga mengambil kira bahawa terdapat satu lagi prosiding mahkamah bagi isu yang sama diambil oleh Sabah Law Society.

“Justeru apa yang saya boleh katakan setakat masa ini, ia masih diteruskan oleh plaintif.

“Isu ini (tuntutan hak 40 peratus hasil persekutuan di Sabah) sudah berpanjangan sekian lama, sejak sebelum saya lahir sehingga saya berada di sini hari ini.

“Jadi saya berpendapat semua platfotm yang ada boleh digunakan untuk menuntut hak Sabah menurut Perlembagaan,” katanya.

Hari ini, Ewon menyampaikan ucapan sempena Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat Zon Sabah anjuran kementerian beliau yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang mewakili Ketua Menteri Sabah.

— Yap Siong Han