Home » Lebih RM500 juta pembiayaan SME Bank manfaatkan usahawan Sabah
Berita Tempatan Politik

Lebih RM500 juta pembiayaan SME Bank manfaatkan usahawan Sabah

Ewon yakin, dengan adanya sokongan daripada SME Bank akan dapat membantu mempertingkatkan lagi sumbangan usahawan PMKS terhadap kemakmuran ekonomi negeri Sabah khususnya dan negara secara amnya.

KOTA KINABALU: Seramai 727 usahawan di negeri ini menerima manfaat bantuan SME Bank sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang melibatkan pembiayaan lebih RM500 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, setakat Jun tahun ini, sebanyak RM48 juta nilai pembiayaan disalurkan kepada usahawan-usahawan, manakala tahun lepas sebanyak RM168 juta.

Katanya, pembiayaan berkenaan melibatkan jumlah yang amat memberangsangkan dan berharap SME Bank dapat memberi pembiayaan atau perkhidmatan kepada lebih ramai usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah.

“Antara sektor pemangkin utama sektor perniagaan yang dikenal pasti oleh SME Bank bagi wilayah Sabah ialah industri pembuatan, pembinaan serta pelancongan untuk membantu kerajaan negeri membangunkan usahawan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jom XCESS SME Bank Pusat Wilayah Sabah di sini hari ini.

Terdahulu ketika berucap Ewon berkata, pembangunan PMKS memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi-agensi kementerian seperti SME Bank.

Beliau yakin, sokongan daripada SME Bank akan dapat membantu mempertingkatkan lagi sumbangan usahawan PMKS terhadap kemakmuran ekonomi negeri ini khususnya dan negara secara amnya. 

Menurutnya, KUSKOP bergerak aktif turun padang bagi mendekati komuniti usahawan negara dan antara inisiatif terkini yang diadakan ialah Minggu Usahawan Negara 2023, Minggu PMKS dan pelancaran Pelan Pemformalan Usahawan Informal.

“Selain itu, Program Jelajah Keusahawanan Bersasar (JKEB) juga diadakan dengan menyasarkan kepada pemerkasaan usahawan wanita, Orang Asli serta bekas banduan. Program ini membuka peluang kepada mereka meneroka bidang keusahawanan.

“Inisiatif yang dilaksanakan oleh KUSKOP adalah antara usaha memastikan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul dan terangkum menjelang 2030 dapat dicapai.

“KUSKOP juga menyediakan pelbagai dana pemudah cara bertujuan meningkatkan kapasiti usahawan dan koperasi negara. Melalui SME Bank, dana pembiayaan bernilai RM20 juta disediakan bagi Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial untuk membangun dan memperkukuh perusahaan sosial,” jelasnya. 

Ewon berkata, KUSKOP turut menyediakan dana keseluruhan bernilai RM11.5 juta khusus untuk ‘Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd.’ (CEDAR) laksanakan empat program pembangunan kapasiti keusahawanan bagi tahun ini,” katanya.

Justeru, beliau menyeru usahawan di negeri ini merebut peluang yang ada bagi memastikan usahawan bumiputera di Sabah dapat menyumbang kepada pencapaian 45 peratus sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor KUSKOP Datin Azira Othman; Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr. Aria Putera Ismail; Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim; Ketua Pegawai Perniagaan SME Bank Zabidi Abdullah; dan Penolong Kanan Ko-kurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pensiangan Komprehensif 9 Aloysius Robert.

–Siti Aisyah Narudin