Home » Koperasi boleh bantu basmi kemiskinan tegar di Sabah – KM
Berita Tempatan

Koperasi boleh bantu basmi kemiskinan tegar di Sabah – KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yakin gerakan koperasi di Sabah yang mempunyai 1,707 koperasi berdaftar dan jumlah anggota lebih 350,000 di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dapat membantu membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.

“Saya berbangga kerana Sabah mempunyai bilangan koperasi berdaftar kedua tertinggi di negara selepas Selangor dengan jumlah pendapatan RM570 juta.

“Ini membuktikan gerakan koperasi di Sabah telah berjaya memainkan peranannya dan menyumbang secara signifikan sebagai salah satu agen pertumbuhan sosioekonomi yang berpotensi menamatkan kemiskinan tegar,” katanya pada Hari Koperasi Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Lebih membanggakan terdapat empat koperasi dari Sabah iaitu Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad, Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad, Koperasi Borneo Malaysia Berhad dan Koperasi Usahawan Tawau Berhad telah disenaraikan dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia tahun lalu, kata Hajiji.

“Syabas dan tahniah kepada semua koperasi di Sabah. Saya ingin melihat agar lebih banyak lagi koperasi dari Sabah disenaraikan dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun akan datang,” katanya dan percaya angka ini boleh dipertingkatkan apabila kesedaran dan minat menyertai koperasi menjadi cara hidup yang menyumbang kepada kemakmuran sosio ekonomi negara.

“Ini adalah kerana wahana koperasi merupakan pendekatan yang efektif bukan sahaja dalam merangsang pembangunan sektor keusahawanan, bahkan berupaya memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 menangani cabaran peningkatan kos sara hidup,” katanya.

“Tekad serta iltizam Kerajaan adalah “to facilitate and not to frustrate (untuk membantu dan bukan untuk mengecewakan)” bagi membantu menyediakan dasar yang mesra koperasi agar gerakan koperasi secara khususnya di negeri ini adalah berdaya maju dan kompetitif,” katanya.

Hajiji menyampaikan Anugerah Koperasi Terbaik kepada seorang daripada tiga penerima semasa Hari Koperasi Negara di SICC, Kota Kinabalu.

Selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan, katanya, Kerajaan Negeri berharap agar gerakan koperasi di negeri ini dapat mengambil peluang sebaiknya inisiatif serta insentif dana yang disediakan dalam memajukan sektor perniagaan koperasi yang diceburi.

“Begitu juga dari segi bantuan dana dan tabung pembangunan modal koperasi, saya dimaklumkan baru-baru ini Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) melalui SKM telah meluluskan bantuan pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM Tahun 2023 (TMPSKM) kepada dua koperasi di Sabah dengan dana keseluruhan berjumlah RM25.9 juta dalam bentuk pembelian aset tanah kelapa sawit seluas 1,500 ekar dan juga premis perniagaan runcit.

“Selain itu, SKM juga telah meluluskan bantuan kepada dua buah koperasi melalui program pembiayaan yang dikenali sebagai Program eFAST berbentuk geran pembangunan perniagaan kepada koperasi-koperasi yang produktif untuk memantapkan perniagaan,” ujarnya.

Hajiji berkata, peranan koperasi menjadi pelengkap dan berganding bahu bersama Kerajaan dan sektor swasta dalam mengisi ruang-ruang kosong “untapped business opportunities (peluang perniagaan yang belum diterokai)” yang ada dalam membangunkan negeri ini secara spesifiknya.

“Justeru, saya mahu semua gerakan koperasi di Sabah terus memperkasakan diri, meningkatkan daya saing dan merebut peluang ekonomi yang tersedia.

“Di Sabah kita mempunyai banyak jenis koperasi yang membangunkan sosio ekonomi komuniti, sama ada berkaitan peruncitan atau aktiviti pelancongan dan kelestarian alam sekitar. Negeri ini kaya dengan sumber alam semulajadi dan sosio budaya yang mampu menarik ramai pelancong berkunjung sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.

Menurut beliau, pembukaan semula pintu-pintu masuk sempadan negara telah memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan dimana Sabah telah mencatatkan seramai 1.73 juta ketibaan pelancong pada tahun lalu dan tahun ini dijangka seramai 2.2 juta orang dengan berupaya menjana pendapatan sebanyak RM4.1 bilion

Hajiji bersama Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick melawat salah satu gerai pameran koperasi.

Beliau menyeru koperasi di Sabah memanfaatkan ledakan industri pelancongan, yang mewujudkan pelbagai peluang perniagaan hiliran seperti penginapan, inap desa, pengangkutan, restoran, taman dan kedai cenderamata.

Ketua Menteri juga mengalu-alukan penyertaan seramai 186 belia dari 19 negara Asia Pasifik pada Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik (APCYS) yang akan dihoskan oleh Sabah, yang juga buat julung kalinya diadakan di Malaysia, dari 27 hingga 30 Disember tahun ini.

wartaoriental