Home » RM46.9 juta prospek perniagaan direkodkan melalui 44 sesi padanan perniagaan sempena sambutan HKN’23
Berita Tempatan Politik

RM46.9 juta prospek perniagaan direkodkan melalui 44 sesi padanan perniagaan sempena sambutan HKN’23

AMANAT: Ewon menyampaikan ucapan sempena penutupan sambutan HKN'23 yang diadakan di SICC.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah berjaya mengadakan sambutan Hari Koperasi Negara 2023 (HKN’23) pada 21 hingga 23 Julai lepas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata sepanjang HKN’23, program itu telah berjaya merekodkan prospek perniagaan sebanyak RM46.9 juta melalui 44 sesi padanan perniagaan.


Jelasnya, jualan koperasi dan usahawan ialah RM1,215,090; MADANI RM154,284 dan jualan food truck berjumlah RM101,459 dengan jumlah keseluruhan jualan tunai RM1,470,832.


Jumlah pengunjung yang direkodkan sepanjang tiga hari penganjuran adalah seramai 10,069 orang manakala sebanyak 219 reruai oleh agensi kerajaan, swasta, usahawan dan koperasi terlibat dalam karnival jualan dan gerai pameran sempena HKN’23.


Pelbagai aktiviti berkaitan keusahawanan diadakan antaranya Pocket Talk, khidmat nasihat perniagaan, bicara niaga inklusif dan kuiz keusahawanan.

Selain itu, aktiviti-aktiviti lain turut disediakan untuk pengunjung seperti persembahan artis, Coop Explorace, Voice of Coop, Zumba, Pertandingan Video Kreatif dan Bicara Perdana ‘Koperasi, Menjejak Berkah Menggarap Hikmat’ dan Malam Kerohanian: Persembahan Nasyid dan Tarian Kebudayaan.


Tahun ini, Sabah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran HKN 2023 yang telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.


Sepanjang penganjuran tiga hari HKN’23, masyarakat setempat telah mendapat limpahan ekonomi daripada kehadiran anggota koperasi seluruh negara seperti industri perhotelan, pelancongan dan pengangkutan.


Selain daripada itu, gerakan koperasi seluruh negara berjaya meningkatkan rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak menceburi pelbagai aktiviti perniagaan dan meningkatkan pendapatan koperasi.


Statistik gerakan koperasi sehingga Disember 2022 adalah pengumpulan modal syer dan yuran adalah berjumlah RM17 bilion dan penjanaan aset pula berjumlah RM160 bilion.

Sementara itu, sumbangan perolehan koperasi mencecah RM45.5 bilion, menjadikannya penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta.

Mengenai Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK’23), ia merupakan manifestasi apresiasi dan pengiktirafan Kerajaan kepada gerakan koperasi negara yang telah banyak menyumbang dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat Madani di negara ini.


Dengan tema BKK’23 ‘Malaysia Madani Teras Kecemerlangan Koperasi’, ia bukan sahaja bertujuan untuk dihayati tetapi juga dilaksanakan melalui enam teras yang terkandung dalam konsep Malaysia Madani.


Pemilihan bulan Julai sebagai acara sambutan BKK bukan sahaja menyorot sejarah pendaftaran koperasi pertama di negara ini, malah ianya selaras dengan pengisytiharan hari Sabtu minggu pertama bulan Julai setiap tahun sebagai Hari Koperasi Antarabangsa (International Day of Co-operatives) oleh Perikatan Koperasi Antarabangsa (International Co-operative Alliance, ICA).


Majlis penutupan BKK’23 dijadualkan pada 30 Julai ini yang akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

— Kenneddy Corlleus