Home » Perbelanjaan tambahan bukti prihatin kerajaan kepada rakyat
Berita Tempatan Politik

Perbelanjaan tambahan bukti prihatin kerajaan kepada rakyat

YB Datuk Ewon Benedick, Adun Kadamaian menghadiri persidangan dewan undangan negeri Sabah, di Dewan Undangan Negeri, Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Pembentangan perbelanjaan tambahan bukti usaha kerajaan Sabah dalam menambah baik kemudahan perkhidmatan kepada rakyat. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, penjelasan perlu dilakukan Kementerian Kewangan mengenai jalan penyelesaian masalah kepada pelajar yang telah memohon biasiswa tetapi gagal.

“Mereka kebanyakannya dari keluarga B40 yang kini berada di Semester 1, sudah mendaftar dan ada juga yang berada dalam Semester 3.

“Apakah dengan peruntukan tambahan ini, dapat membantu mereka yang memohon balik atau merayu permohonan kedua atau ketiga?

“Di kawasan saya, di Kadamaian dan Penampang, banyak yang mengadu permohonan mereka ditolak,” katanya ketika membahaskan syor ke atas Permohonan Peruntukan Tambahan (ASP) 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau juga mahu maklumat terperinci mengenai pungutan dibawah Tabung Amanah Pendidikan Sabah yang telah diluluskan dalam dewan ini pada tahun 2021. 

“Berapa jumlah simpanan atau pungutan tabung ini? Apa rancangan pihak kerajan negeri untuk menambah Tabung Amanah Pendidikan Sabah dan adakah kerajaan Sabah menuntut perkara tertentu daripada kerajaan Persekutuan supaya Tabung Amanah Pendidikan itu dapat ditambah?,” katanya.

Ewon sekali lagi mencadangkan agar satu jawatankuasa koordinasi atau jawatankuasa penyelerasan pembangunan keusahawanan diantara kerajaan Sabah dan persekutuan diwujudkan.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempunyai 66 agensi yang telibat dalam pembangunan keusahawanan dan dibawah KUSKOP ada 10 agensi.

“Sekiranya ada jawatankuasa penyelerasan seperti yang dilaksanakan di negeri jiran, lebih mudah untuk kerajaan Sabah mengolah cara agensi-agensi persekutuan memberi perkhidmatan dan pembiayaan serta pembangunan yang diperlukan sesuai dengan hala tuju kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berpendapat inisiaitf pembangunan keusahawanan itu diterajui oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan beri sokongan dari segi pembiayaan, latihan, pembangunan kapasiti, promosi, termasuk pembangunan premis-premis perniagaan yang diletakkan dibawah agensi-agensi kerajaan persekutuan tetapi ia mestilah diketuai oleh kerajaan negeri.
 
Ewon mencadangkan supaya jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Menteri atau mana-mana anggota jemaah menteri yang dimandatkan oleh ketua menteri dan kesemua agensi kerajaan persekutuan harus akur dengan jawatankuasa ini.

“Ini memerlukan satu punca kuasa iaitu satu keputusan Kabinet Sabah, supaya agensi-agensi persekutuan boleh membantu dan mengadakan ruang atau platform yang lebih tersusun bagaimana penyelerasan pembangunan keusahawanan dapat dilaksanakan di Sabah,” katanya.

Beliau juga mengulangi syor yang pernah dikemukakan sebelum ini bahawa tanah hak adat bumiputera (NCR) yang dituntut oleh komuniti masih terletak dalam kawasan hutan simpan atau Taman-Taman Sabah supaya kawasan mereka dikeluarkan dan diserahkan kembali kepada penduduk kampung supaya dijaga oleh komuniti dengan sokongan kerajaan, Jabatan Perhutanan.

Katanya, misalnya Kampung Melangkap Kota Belud dan Kg. Kibunut Penampang. Perkampungan itu wajar diserahkan kepada penduduk.

“Kategori baharu boleh diwujudkan seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri sebelum ini. Saya konsisten dalam cadangan ini supaya kawasan NCR yang dituntut oleh rakyat diserahkan kepada penduduk, diwujudkan Jawatankuasa Pemegang Amanah untuk memelihara,” katanya.


— Yap Siong Han