Home » RM15 Juta Perkasa & Mantapkan Program Bantuan IKS di Sabah – Hajiji
Berita Tempatan Politik

RM15 Juta Perkasa & Mantapkan Program Bantuan IKS di Sabah – Hajiji

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan. Karnival itu dianjukan oleh Exco Wanita Biro Keusahawanan Wanita Negeri Gagasan Rakyat dengan kerjasama Persatuan Double A Martial Arts Tawau.

TAWAU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM15 juta bagi menyokong,memperkasa dan memantapkan lagi Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana(IKS) di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Selain itu katanya, sejumlah RM6.17 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan bagi mempergiatkan promosi produk Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa.

Menurutnya, Program Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Halal diperkenalkan tahun ini bagi melayakkan produk IKS Sabah bersaing di peringkat antarabangsa.

“Sejumlah RM7.1 juta turut diagihkan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) bagi meneruskan usaha menyedia dan membangunkan premis pernigaan, kedai-kedai sosio-ekonomi dan lain-lain program keusahawanan tahun ini”.

“Justeru saya mahu usahawan merebut peluang yang disediakan kerajaan, termasuk terus meningkatkan ilmu dan kemahiran agar produk mereka mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa”, katanya pada Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan dan Kerjaya (SABAHFEC) 2023 Zon Pantai Timur di Majlis Perbandaran Tawau pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan. Karnival itu dianjukan oleh Exco Wanita Biro Keusahawanan Wanita Negeri Gagasan Rakyat dengan kerjasama Persatuan Double A Martial Arts Tawau.

Hajiji berkata, Kerajaan turut komited membantu komuniti usahawan di negeri ini supaya dapat terus berkembang dan memantapkan perniagaan mereka.

“Justeru pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) terus diberi tumpuan sebagai industri pendukung dan pemangkin kepada sektor pembuatan. Penglibatan pelbagai pihak termasuk Yayasan Sabah dan syarikat swasta seperti PETRONAS dalam membangunkan IKS banyak membantu syarikat swasta di negeri ini”, tegasnya.

Menurutnya, Kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan ekonomi negeri dan rakyat menerusi pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) khususnya selepas pandemik COVID-19.

Katanya, penganjuran SabahFEC 2023 akan membantu golongan pencari kerja untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan kemahiran, selain bantuan geran dana untuk usahawan daripada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat.

Beliau optimis, karnival itu adalah platform terbaik untuk pencari kerja dan usahawan memperkasa ekonomi diri, mendapat maklumat bantuan geran dana daripada agensi yang terbabit, pengurusan kewangan selain peluang kerjaya serta kemahiran.

Sehubungan itu, Hajiji menyarankan kepada setiap pencari kerja terutama golongan belia memanfaatkan setiap kemudahan, program dan platform pencari pekerjaan serta peluang pekerjaan disediakan kerajaan.

“Pencari kerja perlu memanfaatkan portal pekerjaan Sabah Jobs Portal (SJP) dan MyFutureJobs untuk menghubungkan mereka dengan majikan bagi mengelakkan terlibat dengan sindiket penipuan pekerjaan. Langkah ini akan membolehkan mereka peka dengan peluang–peluang kerjaya dan perkhidmatan pekerjaan lain yang ditawarkan. Portal SJP ini khusus untuk rakyat Sabah dan kekosongan jawatan yang diiklankan adalah peluang kerjaya dari seluruh Malaysia”, tegasnya.

Beliau juga mahu Karnival Keusahawanan dan Kerjaya (SABAHFEC) 2023 diperluskan ke zon-zon lain di negeri ini, agar lebih ramai rakyat Sabah akan mendapat manfaat.

Tamat