Home » Jabatan kerajaan tangani isu pembangunan di Penampang: Ewon
Berita Tempatan Politik

Jabatan kerajaan tangani isu pembangunan di Penampang: Ewon

MESYUARAT: Ewon semasa menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Penampang.

PENAMPANG: Jabatan kerajaan sedang menangani isu pembangunan di Penampang termasuk punca kelewatan pelaksanaan projek pembangunan.

Ahli Parlimen Penampang yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, antara punca kelewatan pelaksanaan dan penyiapan projek di Penampang ialah perlantikan juru perunding oleh jabatan teknikal, pengambilan dan pemilikan tanah.

Tambahnya sebab lain termasuklah keperluan peruntukan tambahan pemindahan tiang dan kabel utiliti melibatkan pelbagai agensi dan ubahsuai skop projek yang melibatkan proses kelulusan.

“Antara projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di Penampang ialah Projek Rancangan Tebatan Banjir Kawasan Lido, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog, Projek Naiktaraf Lebuhraya Penampang Kasigui, Projek Pembinaan SMK Kipouvo dan pemasangan lampu jalan serta pembinaan Tamu Donggongon dan Klinik Kesihatan Penampang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Penampang, di Majlis Daerah Penampang semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan Pegawai Daerah Penampang Francis Chong itu membincangkan pelbagai isu termasuk status semasa dan tindakan penyelesaian projek pembangunan dalam daerah Penampang.

Turut hadir Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang.

Beliau berkata beberapa projek baharu yang dikenal pasti untuk dilaksanakan ialah pembinaan loji bekalan air terawat Moyog, Jambatan Babagon Timpangoh dan sekolah baharu.

“Saya memantau sendiri prestasi pelaksanaan projek pembangunan di Penampang termasuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah dan perkara ini akan dibawakan kepada rakan menteri sekiranya ada keperluan.

“Semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam projek pembangunan ini sedang menangani isu dan punca keterlewatan projek pembangunan. 

“Kita harapkan semua projek pembangunan ini dapat disiapkan segera untuk manfaat rakyat di Penampang,” katanya.

— Vivi Olviana Najurus