Home » KUSKOP sedia inisiatif khusus bantu usahawan PMKS
Berita Tempatan Politik

KUSKOP sedia inisiatif khusus bantu usahawan PMKS

Ewon berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12, 2021 – 2025, pada mesyuarat khas Dewan Rakyat, Parlimen ke-15, di sini semalam.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan inisiatif-inisiatif khusus untuk membantu usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) mengembangkan pasaran eksport.

Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick berkata, program-program khusus itu dilaksanakan oleh SME Bank dan SME Corp iaitu agensi dibawah kementerian berkenaan.

“Antara fokus utama kementerian adalah mengantarabangsakan usahawan PMKS tempatan melalui pelaksanaan program dan inisiatif berteraskan galakan eksport iaitu Galakan Eksport Bumiputera (GEB), Program Pengukuhan Eksport PKS (SMEs Go Global) dan Program Rantaian Glokal (GLoSMEP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12, 2021 – 2025, pada mesyuarat khas Dewan Rakyat, Parlimen ke-15, di sini semalam.

Ewon berkata, bagi tempoh 2021 sehingga Ogos 2023, sebanyak 33 usahawan PMKS telah menerima geran berjumlah RM5.3 juta di bawah program GEB dan SMEs Go Global. 

“Seramai 461 peserta telah menyertai latihan dan klinik perniagaan bagi persediaan meluaskan pasaran ke luar negara.

“Manakala, di bawah program GLoSMEP, lebih 2,700 usahawan PMKS telah menyertai 2,388 sesi padanan perniagaan dengan potensi jualan sebanyak RM503.0 juta. 

“Terkini, sebanyak 42 sesi padanan perniagaan telah diadakan pada 11 September lalu melibatkan 37 usahawan PMKS tempatan bersama 12 syarikat dari negara Turkiye dengan mencatatkan potensi jualan sebanyak RM9.6 juta,” katanya.

Ewon berkata, bagi Program Business Exports Program (BEP) dibawah SME Bank yang menawarkan latihan bimbingan eksport dan penyertaan dalam misi perdagangan luar negara kepada syarikat PKS bumiputera, sehingga kini sebanyak 47 syarikat menerima pembiayaan berjumlah RM120.4 juta dan merekodkan jualan eksport berjumlah RM123.44 juta.

Mengenai isu perumahan di Tanjong Tokong yang masih tertangguh, Ewon berkata, beliau akan melawat tapak cadangan itu dalam masa terdekat untuk melihat sendiri isu berkenaan.

Beliau berkata, penglibatan UDA sebagai agensi pelaksana bagi penempatan semula penduduk asal Tanjong Tokong bermula pada 1972 di kawasan seluas 43 ekar. 

“Sehingga kini 25 ekar daripada jumlah tersebut telah dibangunkan dan baki 18 ekar bakal dibangunkan sebagai penempatan semula (rumah ganti), rumah mampu milik dan rumah kos sederhana serta turut menempatkan sebuah sekolah menengah.

“Sehingga tahun 2022, UDA telah menyelesaikan sebanyak 1,486 unit penempatan semula penduduk asal Tanjong Tokong yang merangkumi pembangunan perumahan Fasa 1, 2, 3 dan 4. 

“UDA kini sedang melaksanakan pembangunan perumahan untuk baki 659 keluarga terlibat yang dijangka siap dalam tempoh empat tahun,” katanya. 

Beliau berkata, hampir keseluruhan unit kediaman penempatan semula di Tanjung Tokong diberi secara percuma di peringkat penduduk asal (Bekas Pemegang Temporary Occupation License – BPTOL), anak-anak BPTOL yang layak dan penyewa unit rumah yang layak. 

“Dalam hal ini, syarat sekatan khas hanya tertakluk untuk sebahagian pembangunan Tanjung Tokong, melibatkan fasa 1, 2, dan 3 sahaja, manakala baki tanah untuk pembangunan yang seterusnya tertakluk kepada kehendak kelulusan pembangunan terkini,” katanya.

— Yap Siong Han