Home » Agensi KUSKOP perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri
Berita Tempatan Politik

Agensi KUSKOP perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri

ALBUM: Ewon (duduk, tiga kanan), Phoong (duduk, empat kiri) bersama tetamu kehormat lain dan para peserta dalam mesyuarat berkenaan merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Semua agensi dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) perlu mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk melaksanakan program keusahawanan.

Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick berkata, agensi KUSKOP tidak seharusnya bergerak sendirian di Sabah agar tiada pertindihan berlaku.

“Ini bagi memastikan kumpulan sasaran menerima manfaat sewajarnya dan tiada yang tertinggal daripada kebaikan ini.

“Hari ini kita mempunyai 21 agensi menyertai jawatankuasa ini dan jumlah ini akan ditingkatkan dari semasa ke semasa pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah (JPPKNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan adanya jawatankuasa itu, ia dilihat mampu membantu golongan sasar khususnya usahawan kecil, sederhana dan sebagainya.

Ewon juga berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah kerana bersetuju mewujudkan jawatankuasa itu yang melibatkan semua agensi kerajaan Pusat dan negeri, khususnya yang terlibat dengan pembangunan usahawan.

“Jawatankuasa yang sama juga diadakan di Sarawak dan saya percaya dengan adanya jawatankuasa ini, kedua-dua negeri dan Pusat dapat memperkasakan kerjasama…tidak seperti sebelum ini yang bergerak bersendirian apabila melaksanakan program yang dimandatkan dibawah agensi masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan Datuk Phoong Jin Zhe berkata, inisiatif yang diwujudkan itu adalah usaha yang baik demi pembangunan semua usahawan di Sabah khususnya golongan belia.

Katanya, adalah penting semua agensi Pusat dan negeri duduk bersama-sama dan menyelaras seterusnya mencari pendekatan memudahkan para usahawan yang mahu memperkasakan perniagaan masing-masing.

— Yap Siong Han