Home » Sabah Energy Corporation bayar dividen RM14 juta
Berita Tempatan Politik

Sabah Energy Corporation bayar dividen RM14 juta

DIVIDEN: Adzmir (dua kiri) menyampaikan dividen sebanyak RM14 juta kepada Sofian (dua kanan) sambil disaksikan Hajiji, Safar, Annuar, Hassan; Ahmad dan Anthea semasa majlis penyerahan di DUN Sabah.

KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) membayar dividen RM14 juta kepada kerajaan negeri bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Adzmir Abd Rahman menyampaikan dividen itu kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Sofian Alfian Nair yang disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Hadir sama menyaksikan penyerahan dividen itu di Dewan Undangan Negeri Sabah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong; Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub Aman Timbalan Pengerusi SEC, Datuk Hassan A Gani Pg Amir; Ketua Pegawai Operasi SEC, Ir. Ahmad Jafar dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Anthea James.

Pada majlis itu, Adzmir memberitahu SEC dan kumpulan syarikatnya telah mencapai keuntungan sebelum cukai sebanyak RM46.35 juta pada tahun 2023, meningkat daripada RM39.8 juta pada tahun 2022.

“Di peringkat syarikat pula, keuntungan sebelum cukai SEC adalah sebanyak RM34.4 juta, meningkat 56 peratus berbanding tahun lepas. Manakala anak syarikat milik penuh SEC, Asian Supply Base Sdn. Bhd. (ASB), melaporkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM19.5 juta, ” katanya.

Adzmir turut menyatakan bahawa daripada modal berbayar awal Kerajaan Negeri sebanyak RM299.9 juta, keuntungan terkumpul selepas pelaburan semula berterusan telah meningkatkan Dana Pemegang Saham kepada lebih RM1 bilion menjelang akhir tahun 2023.

“Sehingga kini, SEC telah menyumbang sejumlah RM255.5 juta dalam bentuk dividen kepada Kerajaan.

“SEC memainkan peranan utama dalam pertumbuhan industri dan ekonomi negeri dengan membekalkan 86 peratus daripada keperluan elektrik negeri.

“SEC komited untuk meningkatkan operasi perniagaan dan keuntungan dalam sektor tenaga, dan telah menceburi pengeluaran tenaga boleh diperbaharui seperti Tenaga Solar Skala Besar dan Hidro, selain sedang menjalankan kajian untuk memanfaatkan tenaga angin bagi mempelbagaikan campuran penjanaan kuasanya.

“Pembayaran dividen SEC telah meningkat dari tahun ke tahun, dan SEC percaya dengan tadbir urus korporat yang baik dan pengurusan perniagaan yang efisyen, pembayaran dividen kepada Kerajaan Negeri Sabah akan terus meningkat pada tahun-tahun berikutnya, ” katanya.

— TAMAT