Home » Pejabat IKMa Tawau bukti KUSKOP beri perkhidmatan di seluruh negara – Ewon 
Berita Tempatan Politik

Pejabat IKMa Tawau bukti KUSKOP beri perkhidmatan di seluruh negara – Ewon 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata,ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Pejabat IKMa cawangan Tawau, di sini hari ini. Turut hadir Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor.

TAWAU: Pejabat baharu Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di daerah ini adalah inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memberi perkhidmatan lebih meluas di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pembukaan itu juga melengkapkan usaha kerajaan Sabah dalam membantu usahawan dan koperasi di daerah Tawau.

Selain itu, katanya, ia turut bersesuaian dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk memberi tumpuan tambahan kepada Sabah dan Sarawak.

“Saya berharap pejabat IKMa di Tawau dapat bekerjasama dengan kerajaan Sabah dan juga pemimpin terutamanya wakil rakyat di sini.

“KUSKOP sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutamanya golongan usahawan dan koperasi yang memerlukan termasuklah pembiayaan serta bantuan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Pejabat IKMa cawangan Tawau, di sini hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor.

Menurutnya, Pejabat IKMa Tawau akan sentiasa aktif menjalankan dan melaksanakan latihan pembangunan bagi membantu usahawan serta koperasi di daerah ini.

“Justeru, saya berharap dengan adanya pejabat baharu ini dapat mewujudkan lebih banyak koperasi di daerah Tawau,” katanya.

Ewon berkata, pihaknya juga mahu memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak tanpa mengurangkan fokus kementerian di seluruh negara.

“Apa yang kita laksanakan hari ini adalah satu cerminan daripada hasrat KUSKOP untuk memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

— Hamzah Sanudin