Home » KUSKOP giat promosi, beri pendedahan konsep perusahaan sosial-Ewon
Berita Tempatan Politik

KUSKOP giat promosi, beri pendedahan konsep perusahaan sosial-Ewon

LAWAT: Ewon (tiga kanan) melawat tapak pameran dalam majlis tersebut.

TAWAU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang giat mempromosi dan memberi pendedahan kepada usahawan tentang idea serta konsep perusahaan sosial di negara ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, keusahawanan sosial adalah agenda utama KUSKOP kerana yakin sektor ini mampu meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi rakyat dan kesejahteraan alam sekitar.

Katanya, Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030) yang dilancarkan tahun lalu adalah dokumen penting yang menggariskan hala tuju baharu bagi mengarusperdanakan perusahaan sosial di Malaysia.

“SEMy2030 menyediakan strategi dan inisiatif bagi memacu pertubuhan dan perkembangan keusahawanan sosial supaya lebih ramai rakyat Malaysia bergelar usahawan sosial.

“Dalam konteks ini, usahawan dan koperasi bukan hanya menjalankan perniagaan yang berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi memberi bantuan kepada golongan tidak bernasib baik dan membantu pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bicara Ilmu: Memperkasa Perusahaan Sosial dalam kalangan Koperasi dan Usahawan, di sini hari ini.

Menurutnya, masalah sosial dan alam sekitar adalah isu global yang dihadapi oleh semua negara termasuk di Malaysia.

“Dalam kita melalui proses pembangunan ke arah sebuah negara maju, kerajaan berhadapan dengan tekanan untuk membantu golongan miskin dan terpinggir serta menangani alam sekitar.

“Justeru, perusahaan sosial memain peranan penting serta boleh menjadi rakan strategik kerajaan dalam membantu negara menangani masalah sosial dan alam sekitar,” katanya.

Mengulas mengenai program bicara ini, Ewon berkata ia adalah usaha yang disusun oleh KUSKOP bersama Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di daerah ini.

Katanya, program ini adalah salah satu langkah untuk menarik minat koperasi dan usahawan bagi mendapatkan penarafan serta akreditasi sebagai usahawan sosial.

“Inisiatif ini membawa aspirasi teras satu MADANI iaitu memacu pertumbuhan ekonomi sekali gus melonjak pendapatan negara.

“Ia juga turut mengandungi nilai ihsan dan kesejahteraan yang diterjemahkan dengan jelas bagi keuntungan serta manfaat kepada pemain perusahaan sosial dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Ewon berkata, KUSKOP menetapkan sasaran bagi jumlah penarafan Perusahaan Sosial Asas (SE Asas) sehingga tahun ini adalah sebanyak 800 entiti.

“Sehingga 15 Jun ini, jumlah perusahaan sosial yang diberi penarafan SE Asas adalah sebanyak 536 entiti dan 449 daripadanya syarikat SE, manakala 87 adalah koperasi SE.

“Dengan bantuan dan sokongan kerajaan, beberapa usahawan sosial di negara ini telah mencapai kejayaan sekali gus menyumbang kepada agenda pembangunan sosioekonomi negara,” katanya.

— Hamzah Sanudin